Impian emas jadi kenyataan

Tiga serangkai S'pura tangkis cabaran regu Vietnam, Malaysia

Yang seorang sememangnya mengidamkan kalungan pingat emas, sementara dua rakannya agak terkejut dengan pencapaian mereka dalam Kejohanan Silat Sedunia di Pahang, Malaysia, semalam. Tiga serangkai, Abdul Rahim Anwar bersama Hafiz Azhar dan Syarif Hidayatullah Raziz berjaya memperlihatkan gerak langkah dan aksi yang serentak, segar dan menarik untuk memungut pingat emas dalam acara seni melalui regu lelaki. Gandigan Singapura itu telah memperolehi 457 mata untuk menangkis cabaran regu Vietnam dan Malaysia.

Kini berusia 23 tahun, Rahim begitu mengidamkan pingat emas setelah mewakili negara selama tujuh tahun. ”Berbanding dua rakan saya yang lain, saya telah mewakili negara sejak 2000. Sudah tentu, matlamat saya ialah untuk memenangi pingat emas. ”Syukurlah, matlamat ini tercapai. Bahkan, ini adalah kali pertama kami memenangi pingat emas dalam Kejohanan Sedunia. ”Tetapi yang penting sekarang ini ialah bagaimana hendak mempertahankan kejuaraan kami nanti di Vietnam pada tahun depan. ”Orang selalu berkata adalah lebih sukar untuk mempertahankan kejuaraan yang telah dimenangi daripada memenangi kejuaraan tersebut, jelas Rahim. Hafiz, 19 tahun, pula memberitahu beliau agak terkejut dengan kejayaan ini. ”Ini adalah kali pertama saya muncul dalam kejohanan seperti ini. Tambahan lagi, saya masih baru dalam acara ini. Justeru kemenangan ini di luar jangkaan saya sekalipun kami yakin boleh memungut pingat,” kata penuntut Politeknik Singapura.

Syarif Hidayatullah, 18 tahun, dan telah bergiat dalam sukan ini selama tiga tahun, berkata; ”Saya juga terkejut dengan kemenangan ini, Sebagai pesilat, matlamat kami tentunya ingin memenangi pingat emas.” Tetapi sebelum berlepas ke Pahang, regu Singapura turut disebut-sebut mempunyai peluang untuk bersaing memenangi pingat emas. Seperti pengakuan Rahim, mereka bertiga telah berlatih lebih dari setahun untuk menyempurnakan impian ini. Walaupun mereka menyerlah dalam Kejohanan Sedunia tiga sekawan ini tidak dapat membuktikan keunggulannya itu dalam Sukan SEA Thailand. ”Sebab di Thailand, acara regu lelaki ditiadakan. Dalam acara seni, hanya acara tunggal putera dan puteri diadakan,” jelas Rahim.

 

- Berita Harian 28 th October 2007

......more

 

 

Sponsor Area