Matlamat Imran sudah tercapai

 

Usia belum pun mencecah 25 tahun, pesilat sudah berjaya menangi semua kejohanan terpenting

Usianya genap 24 tahun pada 5 Disember ini. Dilihat dari sudut sukan, ia adalah usia yang sedang menuju ke kemuncak kematangan. Ia adalah usia kedewasaan. Ia juga adalah usia yang semakin hampir dengan banjaran kegemilangan. Tetapi kenapa Imran Abdul Rahman ingin mengundurkan diri daripada gelanggang pertandingan silat sedangkan namanya sedang harum mewangi dalam sukan ini? Tersenyum Imran apabila dilontarkan pertanyaan ini. Tetapi seperti dalam silat, Imran sudah bersedia menghadapi apa juga bentuk soalannya. Tentunya bukan kerana hendak menjadi Raja Sehari. Tetapi melihat riak wajahnya, tentu ramai gadis ingin menjadi permaisuri dalam hidupnya. Kata orang, ada rupa. Ada nama. Juga, ada pelajaran. Tetapi jangan ditanya tentang soal temanita, Imran enggan menjawab. Pertanyaan dibalas dengan senyuman.

Jadi, kenapa Imran tidak mahu bertanding lagi? Apabila saya mula bergiat dalam sukan silat, saya telah menggariskan matlamat untuk berusaha memenangi kesemua kejohanan terpenting dalam silat sebelum usia mencecah 25 tahun. ”Syukurlah, sebelum usia saya sampai 25 tahun, cita-cita ini telah tercapai. Saya dapat melakukannya dalam sukan SEA Filipina pada 2005. ” Saya bukan sahaja telah memenangi Kejohanan Sedunia, bahkan mempertahankan kejuaraan itu di Malaysia minggu lalu. Saya juga telah memenangi Sukan SEA dan pelbagai kejohanan antarabangsa di Eropah,” jelas Imran, yang merupakan lulusan Politeknik Nanyang. ”Saya tidak menafikan bahawa silat mempunyai peluang untuk disertakan dalam Sukan Asia. Tetapi saya tidak fikir ia akan diadakan dalam tempoh terdekat ini ”Barangkali, generasi pesilat akan datang berpeluang bertanding dalam Sukan Asia selain Sukan SEA dan Kejohanan Sedunia. Kecuali Sukan Asia boleh diadakan sebelum usia saya mencecah 30 tahun, saya mungkin tergerak untuk kembali bertanding.”

Justeru, Imran berkata beliau ingin mengalihkan perhatian kepada membantu perkembangkan silat. ” Saya ingin mencurahkan pengalaman saya kepada pesilat-pesilat muda. Saya sudah mengalami suka duka dalam silat. ”Sebelum bergelar juara, saya pernah kecundang di tangan pesilat-pesialt Vietnam. Tetapi setiap kali saya tewas, saya belajar daripada kesalahan dan kesilapan. ”Sebab saya lebih banyak menggunakan kaedah pesilat Vietnam dalam kejohanan. Dalam kejohanan, saya lebih banyak menggunakan otak dari kekuatan untuk menang. ”Ternyata, pendekatan seperti ini lebih berjaya. Seperti dalam bola sepak, saya harus mempunyai persiapan taktikal. Ada masanya saya herus lebih banyak menunggu dari bertindak,” kata Imran, yang mengakui penyokong setia pasukan Manchester United.

Dengan segala pengalaman bertanding sejak 2000, Imran, yang juga pernah menjadi juara Kejohanan Sedunia Remaja di Vietnam, ingin menaburkan segala pengalaman tersebut kepada pesilat-pesilat muda. ”Kalau dalam bola sepak, kita selalu ingin melihat muncul lagi pemain berbakat seperti Fandi Ahmad, saya ingin membantu pesilat yang boleh berjaya seperti saya,” ujar beliau yang ingin merakamkan terima kasih kepada semua panel jurulatih Persekutuan Silat Singapura (Persisi) dan rakan-rakannya dalam skuad negara di atas kejayaannya di Pahang baru-baru ini. Memang benar, ujarnya, sebelum berlepas ke Pahang, ada juga yang meragukan tentang tahap keupayaan beliau. ”Tetapi saya menganggap itu lebih sebagai satu dorongan kepada saya untuk berusaha lebih gigih lagi. Tetapi kepada mereka yang masih yakin dengan kebolehan saya, saya ingin merakamkan terima kasih,” jelas beliau yang menyebut nama-nama yang antara mereka ialah Kadir Ibrahim, Yusoff Shah Khamaruddin dan Noor Rafili Ramli.

Selain itu, Imran mengakui beliau masih berhasrat untuk melanjutkan pelajarannya. ”Saya ingin melanjutkan pelajaran ke peringkat universiti. Saya ingin mengambil jurusan dalam Pentadbiran Sukan, kata Imran selanjutkannya. Ditanya tentang rahsia kejayaannya dalam sukan dan pelajaran, Imran memberitahu: Bapak (Abdul Rahman Adnan) dan mama (Myna Ismail) selalu mengingatkan saya kalau hendak berbuat sesuatu, jangan separuh jalan.” Sebab itulah Imran selalu sampai ke destinasi matlamatnya.

Selamat mengejar cita-cita dan semoga berjaya.

 

- Berita Harian 26 th October 2007

......more

 

 

Sponsor Area