posted: 24 Mac 2007(Berita Harian - Sukan)

NOOR RAFILI BERAZAM MAHU CONTOHI ADIK
Yakin peluang terbaik tiba untuk sempurnakan matlamat

ADIK boleh, abang juga sepatutnya boleh.

Tetapi sehingga kini, Noor Rafili Mohamed Ramli masih belum dapat mencontohi kejayaan adiknya, Zulfakar yang bukan sahaja pernah menjadi juara dunia bahkan telah dua kali memenangi pingat emas Sukan SEA.

Bagaimanapun, Rafili, 26 tahun, dan salah seorang pesilat negara yang memenangi pingat emas dalam Kejohanan Undangan Terbuka Antarabangsa Singapura baru-baru ini, berpendapat tahun ini adalah peluang terbaik untuk menyempurnakan matlamatnya itu.

Kejohanan Silat Sedunia akan diadakan di Seremban, Negeri Sembilan, seminggu selepas Puasa dan kemudian Sukan SEA Thailand pada Disember ini.

"Pertama, Fili sudah selesai menjalani Perkhidmatan Negara dan kedua, Fili juga telah tamat pengajian di politeknik.

"Ini bermakna, Fili tidak lagi dibebankan dengan soal pelajaran. Fili boleh memberikan penumpuan sepenuhnya kepada kedua-dua kejohanan ini," jelas Rafili apabila ditanya tentang rancangan masa depannya dalam silat.

"Sebagai abang, Fili tentunya cemburu juga melihat adik pernah bergelar juara dunia dan memenangi pingat emas dalam dua Sukan SEA.

"Pada 2002, kami masing-masing berjaya memenangi empat kejohanan. Tetapi dalam kejohanan kelima iaitu Kejohanan Sedunia, Zul menjadi dunia tetapi saya tewas.

"Bagaimanapun Fili anggap kejayaan Zul itu sebagai pendorong untuk Fili terus berusaha untuk memenuhi impian Fili.

"Tambahan lagi, bapa juga sentiasa menggalak Fili untuk terus mencuba," kata Rafili mengenai bapanya, Ramli Awi, yang bertindak sebagai jurulatih negara dalam kejohanan antarabangsa baru-baru ini.

Menurutnya, untuk menyempurnakan impian itu, beliau akan memberikan perhatian sepenuhnya kepada soal latihan.

'Sebenarnya, Fili ada memohon pekerjaan tetapi Fili tidak tahu apakah Fili boleh membuat persiapan rapi jika bekerja.

'Rasanya adalah baik Fili menumpukan kepada latihan dan memikirkan soal mencari kerja selepas kedua-dua kejohanan ini," tambah Rafili.

 

 

 

Sponsor Area

-
Result for Singapore Competion
-
Yusoff tidak pernah pandang rendah seteru / Masa depan Singapura cerah
......more